Dana Penjana tarik lapan pengurus dana VC asing, pelaburan tambahan RM370 juta

Astro Awani, 14 December 2020

KUALA LUMPUR: Dana Penjana Nasional (Dana Penjana) berjaya menarik lapan pengurus dana modal teroka (VC) asing untuk membuat pelaburan tambahan sejumlah RM370 juta dalam syarikat pemula atau startup di bawah Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital).

Tengku Zafrul berharap rancangan pemindahan pengetahuan dapat memberi manfaat dan pengembangan bakat dalam industri pengurus dana VC, syarikat pemula dan juga masyarakat umum. - Gambar fail

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan tambahan pengurus dana VC dari Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, China, Indonesia dan Singapura itu menyaksikan saiz Dana Penjana mencapai RM1.57 bilion, berbanding peruntukan asal RM1.2 bilion.

Beliau berkata, penyertaan pengurusan dana asing melalui rakan pengurus teroka tempatan menunjukkan minat tinggi terhadap industri pemula di Malaysia yang dijangka mewujudkan kira-kira 1,800 pekerjaan.

"Lapan pengurus VC telah membantu Penjana Kapital melangkau sasaran ini dengan saiz dana RM1.57 bilion secara keseluruhan, atau RM370 juta lebih tinggi daripada peruntukan yang diunjurkan.

"Kelapan-lapan mereka ini dipilih dalam kalangan 51 pemohon dari seluruh negara setelah melalui proses penilaian yang ketat dan proses 'due diligence' oleh panel pelaburan Penjana Kapital," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat anugerah kepada lapan pengurus VC di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, penyertaan pelabur asing yang menggalakkan ini menunjukkan keyakinan kukuh masyarakat antarabangsa terhadap dasar mesra pelaburan Malaysia serta prospek pertumbuhan industri ekonomi dan industri startup negara.

Beliau memberitahu, Ransangan Modal Teroka itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menambah baik persekitan startup negara dan menjana lebih banyak peluang perniagaan, terutamanya dalam sektor yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk ekonomi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, antara syarat utama yang ditetapkan bagi pengurusan dana VC terpilih adalah keperluan untuk mencapai penanda aras prestasi kewangan serta rancangan pemindahan pengetahuan, untuk memberi manfaat kepada ekosistem VC tempatan.

Tengku Zafrul berharap rancangan pemindahan pengetahuan dapat memberi manfaat dan pengembangan bakat dalam industri pengurus dana VC, syarikat pemula dan juga masyarakat umum.

"Saya percaya Malaysia masih kekal sebuah destinasi pelaburan menarik bagi startup di rantau Asia.

"Apabila pelabur menumpukan usaha mencari hasil ketika dunia berdepan suasana pulangan rendah, Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan yang secara tidak langsung menyumbangkan kepada pembangunan negara."

Kerajaan sebelum ini melancarkan Dana Penjana dengan peruntukan RM1.2 bilion untuk dilaburkan dalam syarikat pemula Malaysia yang inovatif bagi menyokong pemulihan ekonomi dan meningkatkan lagi pertumbuhan negara pasca wabak COVID-19.

Sementara itu, Penjana Kapital ditubuhkan pada 1 Julai lalu sebagai sebahagian inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.

Ia ditubuhkan bagi mendokong digitalisasi dan automasi perniagaan Malaysia dengan membawa dana dari pelabur antarabangsa dan tempatan ke pasaran modal teroka tempatan.

 

(Web source: https://www.astroawani.com/berita-bisnes/dana-penjana-tarik-lapan-pengurus-dana-vc-asing-pelaburan-tambahan-rm370-juta-273039)