MDEC sedia kemudahan pembiayaan bagi menyokong pemula niaga

Bernama - Malay, 11 Mac 2021

KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan dua inisiatif kemudahan pembiayaan bagi 2021 iaitu ‘Founders Grindstone,’ program pembinaan kapasiti untuk syarikat pemula niaga dan ‘Investor Matching’ untuk pemadanan syarikat pemula niaga dengan modal usaha niaga (VC).

Dalam kenyataan hari ini, MDEC berkata inisiatif itu akan turut meningkatkan kecekapan pengasas pemula niaga untuk mengharungi kerumitan dalam pembiayaan dana dan memenuhi permintaan pelabur berpotensi.

“Founders Grindstone dan Investor Matching berhasrat menyediakan laluan yang amat diperlukan bagi banyak syarikat pemula niaga berpangkalan di Malaysia untuk berhubung dengan pelabur global dan tempatan, dan berpotensi meraih dana dalam tempoh yang sukar ini,” kata Naib Presiden Bahagian Perniagaan Bertenaga Digital MDEC Gopi Ganesalingam.

Selain pelaburan berpotensi, beliau berkata beberapa VC turut dibuka untuk jenis sokongan lain seperti pementoran, menyediakan akses kepada program yang sedang dijalankan dan perkongsian strategik.

Gopi berkata MDEC akan menggunakan pengalaman kolektif rakan niaga utamanya untuk menyediakan pemantauan dan nasihat kepada pengusaha teknologi memandangkan ia memberi fokus untuk meningkatkan perniagaan bertenaga digital.

“Ini akan membolehkan usahawan teknologi untuk melebihi keadaan semasa, bersedia mendapat pengiktirafan global dan menempatkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya.

Founders Grindstone yang diperkenalkan tahun lepas menawarkan siri bengkel intensif dengan rakan niaga profesional daripada VC, pembina usaha niaga dan firma undang-undang seperti penceramah dan mentor, diikuti sesi ‘pitching’ pada akhir bengkel kepada 20 pemula niaga yang disenarai pendek untuk membantu usahawan teknologi mendapatkan pembiayaan mereka.

Pada tahun ini, inisiatif itu akan memperluaskan Kerjasama dengan lebih banyak firma dan VC, dan akan turut bekerjasama dengan penerima PENJANA Kapital sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia, kata MDEC.

Pada tahun lepas, MDEC berkata 176 pemula niaga telah membuat permohonan ke atas program itu yang menyaksikan penyertaan 104 VC dan pelabur dengan permohonan pembiayaan berjumlah US$212 juta (US$1=RM4.11).

Katanya, pada tahun ini, ia berhasrat meningkatkan kadar pemadanan pemula niaga-pelabur kepada 50 peratus berbanding 37.5 peratus tahun lepas.

- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1940456)