Penjana Kapital berjaya tarik pelaburan 8 pengurus dana teroka

MYKMU.NET, 14 December 2020

KUALA LUMPUR: Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) berjaya menarik lapan pengurus dana teroka (VC) dari Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, China, Indonesia dan Singapura untuk melabur dalam syarikat pemula atau ‘startup’ Malaysia.

Ia sebahagian daripada program Dana Penjana Nasional (Dana Penjana) yang berjumlah RM1.2 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lapan VC dan rakan kongsi tempatan mereka dipilih setelah melalui proses penilaian yang ketat dan ‘due diligence’ oleh panel pelaburan Penjana Kapital.

Menurutnya, mereka dipilih untuk tahap kitaran hidup modal teroka yang berbeza.

“Lima puluh satu permohonan diterima daripada pelbagai VC yang berlokasi di Malaysia dan beberapa negara asing.

“Antara syarat utama yang ditetapkan bagi pegurusan dana VC terpilih adalah keperluan mencapai penanda aras prestasi kewangan serta rancangan pemindahan pengetahuan, untuk memberi manfaat kepada ekosistem VC tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat anugerah kepada lapan pengurus VC di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berharap rancangan pemindahan pengetahuan dapat memberi manfaat dan pengembangan bakat dalam industri pengurus dana VC, syarikat pemula dan juga masyarakat umum.

Kerajaan melancarkan Dana Penjana dengan peruntukan RM1.2 bilion untuk dilaburkan dalam syarikat pemula Malaysia yang inovatif bagi menyokong pemulihan ekonomi dan meningkatkan lagi pertumbuhan negara pasca wabak COVID-19.

Daripada keseluruhan peruntukan dana berkenaan, sebanyak RM600 juta adalah suntikan pelaburan daripada kerajaan, manakala baki RM600 juta lagi adalah padanan sumbangan modal pelaburan daripada pelabur antarabangsa yang menjalinkan usaha sama strategik dengan pelabur domestik.

 

(Web source: https://mykmu.net/2020/12/14/penjana-kapital-berjaya-tarik-pelaburan-8-pengurus-dana-teroka/)