Penjana Kapital ditubuhkan untuk pastikan pengurusan efektif dana Penjana Nasional - Tengku Zafrul

Bernama, 27 August 2020

KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Kementerian Kewangan Diperbadankan menubuhkan Penjana Kapital Sdn Bhd untuk memastikan Dana Penjana Nasional dapat diuruskan dengan berkesan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

20200827-2

Beliau berkata lembaga pengarah khas dan panel pelaburan telah dilantik bagi Penjana Kapital untuk memastikan tadbir urus dan ketelusan yang baik dan memantau dana yang diagihkan di bawah Dana Penjana Nasional.

“Lembaga pengarahnya dianggotai wakil daripada Kementerian Kewangan, pelbagai industri, pemain sektor swasta dan agensi relevan lain.

“Pelabur yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka kepada Penjana Kapital sehingga September 2020,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis pelancaran Dana Penjana Nasional, di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Tengku Zafrul berkata ketika ini, Penjana Kapital masih menerima permohonan dana dan kerajaan akan membuat keputusan selepas syarikat itu memuktamadkan penilaiannya.

Beliau berkata maklum balas daripada pelabur antarabangsa sangat menggalakkan termasuk dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Pada Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Dana Penjana Nasional dengan peruntukan bernilai RM1.2 bilion dalam usaha memacu pemulihan ekonomi negara menerusi pendigitalan perniagaan.

Muhyiddin berkata sebanyak RM600 juta daripada peruntukan itu akan disumbang kerajaan manakala RM600 juta daripada pelabur domestik dan antarabangsa.

Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata di bawah insiatif semasa, bergantung kepada kematangan pemula niaga yang disasarkan, Dana Penjana akan memperuntukkan pembiayaan dalam empat peringkat berbeza kitaran hayat modal teroka.

"Peringkat tersebut adalah: peringkat Awal/Pewujudan-Bersama, dengan sokongan daripada RM500,000 hingga RM5.0 juta; peringkat Siri A/B, bagi syarikat yang telah melepasi tahap penjanaan idea dengan pembiayaan daripada RM5.0 juta hingga RM20.0 juta.

"Peringkat Pertumbuhan, yang mewakili tahap pengembangan bagi sesebuah syarikat, dengan pelaburan daripada RM20.0 juta hingga RM50.0 juta; dan Hutang Teroka, yang menyediakan pembiayaan jangka pendek/sederhana bagi syarikat awal-pertengahan dan akhir dan pemula niaga, dengan pembiayaan daripada RM1.0 juta hingga RM10.0 juta," katanya.

Beliau berkata di bawah dana itu, sektor sasaran akan termasuk teknologi pertanian, teknologi kewangan dan penjagaan kesihatan dan akan berkembang serta merangkumi segmen lain pelaburan modal swasta pada masa depan, seperti ekuiti swasta dan pendanaan awam.

Beliau berkata pembiayaan bagi Dana Penjana akan disediakan oleh dana modal teroka, tempatan dan asing dan kerajaan akan memadankan ini bagi asas 1:1 hanya selepas mereka melakukan pembiayaan.

“Ini akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membangunkan perniagaan Malaysia dalam sektor berimpak tinggi manakala pada masa yang sama memperkasakan mereka untuk melakukan inovasi,” katanya.

Dana Penjana Nasional yang berkonsepkan kerjasama awam-swasta berpotensi untuk menarik pelaburan modal swasta asing ke dalam syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menerusi program padanan modal.

Beliau berkata dalam memupuk budaya keusahawanan di Malaysia dan membangunkan perancangan usahawan sedia ada, Malaysia berkedudukan baik untuk menjadi hab bagi pemula niaga menerusi sokongan padu kerajaan, ekosistem pasaran modal yang dikawal selia dengan baik, tenaga kerja mahir, persekitaran kompetitif dari segi kos untuk menjalankan perniagaan dan akses mudah ke pasaran ASEAN.

“Bukti kepada ini adalah kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Tarikan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Negara 2018, yang mana Malaysia berada di tangga ke-13 daripada 125 negara yang dinilai dalam indeks ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, saiz pelaburan modal teroka pada 2019 menerima impak daripada keadaan tidak menentu global apabila susut kepada RM566.3 juta berbanding RM613.2 juta pada 2018.

Jumlah dana di bawah pengurusan adalah sebanyak RM6 bilion bagi 2019. “Meskipun pelabur institusi asing dan tempatan masih optimis dengan pasaran swasta Malaysia, namun kita perlu memastikannya berkembang secara konsisten,” katanya. Tengku Zafrul berkata sehingga Ogos tahun ini, terdapat 125 firma modal teroka dan ekuiti swasta yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti, menguruskan kira-kira RM6 bilion dana.

-- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1874179)