KUALA LUMPUR: Platform e-dagang kereta bersepadu, Carsome Group mengumumkan penyelesaian dana pusingan ‘Series D2’ bernilai AS$170 juta dan menghasilkan penilaian harga syarikat itu kepada AS$1.3 bilion sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat pemula (unicorn) teknologi terbesar di Malaysia.
Carsome dalam satu kenyataan hari ini berkata, dana pusingan itu diselesaikan dengan kemudahan kredit baharu berjumlah AS$30 juta menjadikan jumlah keseluruhan dana kepada AS$200 juta.
Pusingan Series D2, pelaburan ekuiti terbesar dalam sejarah Carsome menyaksikan penyertaan daripada antara dana pelaburan terkemuka di rantau ini seperti Catcha Group, MediaTek dan Penjana Kapital.
Ia juga menyaksikan penyertaan yang kukuh daripada pemegang saham sedia ada termasuk Asia Partners, Gobi Partners, 500 Asia Tenggara, Ondine Capital, MUFG Innovation Partners, Daiwa PI Partners dan lain-lain.
Rothschild & Co bertindak sebagai penasihat kewangan Carsome untuk perjanjian itu.
Pengasas Bersama dan Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng, berkata dana pusingan terbaharu itu membolehkan syarikat mempercepatkan pertumbuhan organiknya dalam perniagaan runcit dan pembiayaan.
“Kami sangat menghargai dan teruja dengan keyakinan dan sokongan diberi pelabur Carsome dan sudah bersedia untuk mencatatkan pencapaian lebih baik apabila melaksanakan platform e-dagang bersepadu di Asia Tenggara yang kini diperkukuhkan lagi dengan pelbagai kekuatan dalam ekosistem terbabit,” kata Cheng.
Dana pusingan terbaharu Carsome itu akan memantapkan fokus strategiknya terhadap pertumbuhan dan pengembangan perniagaan ke pelangggan (B2C).
Tahun ini saja, Carsome membuka sekurang-kurangnya tujuh pusat runcit B2C yang dikenali sebagai ‘Carsome Experience Centres’ di seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand dengan beberapa lagi yang akan siap baki tahun ini.
Syarikat ini juga membuka pusat pemulihan kenderaan pertama di Malaysia untuk menambah rangkaian perkhidmatan runcit dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kereta Carsome Certified.
Suntikan dana itu juga memperkuatkan tawaran Carsome dalam pembiayaan untuk pembeli kereta dan peniaga kereta terpakai.
Sebagai tambahan kepada pelbagai produk pembiayaannya, Carsome melancarkan kemudahan pembiayaan kenderaan untuk graduan yang lazimnya menghadapi cabaran mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank konvensional.
Selain membantu pertumbuhan perniagaan B2C, pendanaan Series D2 Carsome itu juga dijangka dapat meningkatkan kemampuannya dalam pelaburan strategik, penggabungan dan pengambilalihan.
Tahun ini, syarikat itu memperoleh saham ekuiti dalam PT Universal Collection (PT UC), syarikat perkhidmatan lelong kereta dan motosikal yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.
Ia juga mengadakan kerjasama strategik dengan rangkaian portal automotif terkemuka, iCar Asia untuk membangunkan ekosistem automotif terbesar di Asia Tenggara dengan lebih banyak urus niaga dijangka berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang.
Carsome menjalankan urus niaga berkaitan kereta berjumlah lebih daripada 100,000 setahun yang diterjemahkan kepada hasil sekitar AS$1 bilion.
-BERNAMA
(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2021/09/858662/carsome-syarikat-unicorn-teknologi-terbesar-malaysia)