Dana Penjana Nasional tarik lapan pengurus dana, komitmen pelaburan RM1.57 bilion

KUALA LUMPUR: Dana Penjana Nasional yang dilancarkan 1 Julai lalu berjaya menarik lapan pengurus dana modal teroka (VC) untuk melabur sehingga RM1.57 bilion dalam syarikat pemula niaga Malaysia.

(Gambar fail). Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto: BERNAMA

 

Jumlah jangkaan pelaburan yang bakal dilaburkan syarikat VC asing dan tempatan itu turut mencipta pencapaian memberangsangkan kepada dana kendalian Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) apabila melebihi sasaran peruntukan berjumlah RM1.2 bilion yang ditetapkan kerajaan itu.

Penyertaan pengurus dana asing membuktikan minat yang tinggi terhadap prospek dan industri pemula niaga Malaysia yang mana turut berpotensi mewujudkan lebih daripada 1,800 pekerjaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Penjana Kapital melakar sejarah tersendiri apabila menghubungkan syarikat pemula niaga di Malaysia dengan VC antarabangsa, dalam menyediakan ekosistem yang rancak bagi membuka jalan untuk firma-firma berpotensi tinggi terus berkembang maju.

“Penjana Kapital telah menarik lapan pengurus dana VC dari Amerika Syarikat (AS), Korea, China, Indonesia dan Singapura untuk melabur dalam syarikat permulaan Malaysia sebagai sebahagian daripada program Dana Penjana Nasional yang bernilai RM1.2 bilion.

“Sebenarnya, pengurus dana VC yang terpilih telah menetapkan pelaburan tambahan, untuk mencapai saiz dana maksimum RM1.57 bilion, atau RM370 juta melebihi peruntukan asal RM1.2 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Anugerah Penjana Kapital di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengerusi Penjana Kapital, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim.

Dana Penjana Nasional adalah program padanan fund-of-funds (FOF), yang menjadi sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan pada Jun lalu.

Menerusi Dana Penjana Nasional kerajaan akan memadankan hingga RM600 juta, berdasarkan padanan 1:1, dana yang dijana oleh pengurus dana VC dari pelabur tempatan asing dan swasta, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Dana itu kemudiannya akan disalurkan terutamanya kepada syarikat pemula niaga Malaysia, dengan bakinya pula ke dalam syarikat pelaburan Asia yang dapat membawa manfaat ekonomi yang mampan bagi ekonomi Malaysia.

Pengurus dana VC berkenaan bakal membawa pengetahuan mendalam mengenai sektor utama yang telah mempercepatkan pendigitalan pada era COVID-19. Sektor teras sasaran merangkumi fintech, edutech, agritech, mobiliti dan kecerdasan buatan (AI).

Tengku Zafrul berkata, pelaburan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi dan produktiviti jangka panjang di mana rangsangan VC itu adalah sebahagian daripada usaha meluas kerajaan untuk menambah baik persekitaran perniagaan pemula niaga negara.

Katanya, inisiatif itu juga bakal menjana lebih banyak peluang perniagaan, terutamanya dalam sektor yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk ekonomi.

“Saya mengalu-alukan kehadiran pengurus modal teroka asing ini ke tanah air kita. Penyertaan mereka yang menggalakkan, melalui rakan pengurus teroka tempatan, menunjukkan minat yang tinggi terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dan industri permulaannya.

“Saya yakin bahawa penggunaan dana ini akan memacu ekosistem permulaan kita dan mendorong syarikat permulaan ini untuk berinovasi dan berkembang dengan cepat.

“Saya berharap Penjana Kapital semua berjaya dalam membangunkan pasaran permulaan domestik, yang juga dijangka dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Lapan pengurus dana modal teroka dan rakan kongsi tempatan mereka dipilih setelah melalui proses penilaian yang ketat dan proses kajian daya maju pelaburan oleh Panel Pelaburan Penjana Kapital.

Penjana Kapital telah membuka permohonan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) pada September 2020 dengan 51 permohonan telah diterima daripada pelbagai pengurus modal teroka yang berpusat di Malaysia dan beberapa negara asing.

Antara syarat utama yang ditetapkan bagi pengurus dana VC terpilih adalah keperluan untuk mencapai penanda aras prestasi kewangan serta rancangan pemindahan pengetahuan untuk memberi manfaat kepada ekosistem VC tempatan.

“Rancangan pemindahan pengetahuan diharapkan dapat memberi manfaat dan pengembangan bakat dalam industri pengurus dana VC, syarikat permulaan dan juga masyarakat umum secara keseluruhan,” tambah Tengku Zafrul.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/12/764805/dana-penjana-nasional-tarik-lapan-pengurus-dana-komitmen-pelaburan)