Digital penyelesaian kejatuhan PKS dan golongan muda

KUALA LUMPUR: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dijangka mampu impak positif kepada industri digital dan syarikat pemula niaga teknologi yang masih berada dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengasas dan Pengarah Urusan Baituljannah Sdn Bhd, Dr Wan Hasifi Amin, berkata perkara ini membuktikan kerajaan peka dengan situasi semasa yang memerlukan perniagaan beralih ke arah digital.

“Contohnya inisiatif pertama iaitu Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion sudah tentunya turut dapat memberi keselesaan kepada syarikat ‘startup’ teknologi yang secara majoritinya masih mempunyai pekerja kurang daripada 200 orang.

“Padanan pelaburan domestik dan antarabangsa pula dapat memberikan akses dalam usaha meningkatkan dana syarikat daripada pelabur antarabangsa bagi mengembangkan perniagaan.

“Inisiatif ini diharapkan agar dapat mengukuhkan semula sektor pelaburan pada tahun ini berbanding 2019 di mana berdasarkan laporan tahunan 2019 yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, aktiviti pelaburan dana komited dalam industri modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE) pada adalah sebanyak RM566.37 juta, penurunan sebanyak 7.6 peratus berbanding 2018,” katanya kepada BH.

Wan Hasifi yang tersenarai sebagai antara 30 individu bawah 30 tahun di Asia oleh Forbes bagi teknologi pengguna berkata, walaubagaimanapun, kita sedia maklum dengan situasi ekonomi yang sedia dijangka menguncup pada tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang diterbitkan pada 6 Disember 2019 oleh CB Insights , sebanyak 48 peratus syarikat ‘startup’ teknologi gagal atas faktor kekurangan dana yang menjurus kepada kekangan dalam menambah baik produk, memasarkan produk dan menggaji pekerja.

Selain daripada keperluan dana syarikat yang mencukupi katanya, bimbingan juga merupakan salah satu faktor yang penting dalam menentukan hala tuju untuk berjaya. Pelabur-pelabur antarabangsa yang berminat untuk turut serta dalam Dana Penjana Nasional iaitu SK Group, Hanwha Asset Management, KB Investment Co Ltd, Provident Growth, 500 Startups dan The Hive katanya mempunyai sejarah perjalanan yang baik dalam menyuntik dana.

Syarikat itu juga katanta berkeupayaan menyediakan bimbingan kepada syarikat ‘startup’ teknologi di Malaysia, justeru perkara ini dapat memaksimakan usaha dalam memupuk inovasi dan mengembangkan bakat modal teroka tempatan.

“Selain itu, penubuhan National Technology and Innovation Sandbox dapat memberi ruang kepada usahawahan teknologi dalam menguji cuba teknologi baharu.

“Penghantaran pembelian atas talian melalui dron dan penggunaan kenderaan pandu sendiri itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

“Syarikat gergasi e-dagang Amazon telah menggunakan teknologi penghantaran barangan menggunakan dron yang mengambil masa kurang daripada 30 minit buat pertama kalinya pada 7 Disember 2016 di Amerika Syarikat,” katanya.

Wan Hasifi berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia pada 2018, sekitar 25.3 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ekonomi gig dan jumlah peratusannya semakin meningkat.

Lantaran itu, inisiatif yang memfokuskan dalam merangka dasar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig sememangnya dapat menyelesaikan isu permasalahan pekerja gig yang kurang akses kepada perlindungan sosial dan sebanyak 30,000 orang pekerja gig dianggarkan bakal menerima impak positif daripada inisiatif ini.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Centre.my pada 28 Januari 2020, 76 peratus daripada pekerja gig di Malaysia tidak mempunyai insurans kehilangan pekerjaan, 57 peratus tidak mempunyai insurans kesihatan peribadi dan 37 peratus tidak mempunyai insurans kecederaan atau kemalangan di tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hi HOME, Radzi Tajuddin, berkata pelan PENJANA mengiktiraf ekonomi digital sebagai sektor ekonomi yang ‘mainstream’ adalah tepat kerana ia adalah ubat kepada penyakit ekonomi disebabkan COVID-19. Radzi berkata, digital dapat mengurangkan kontak fizikal sesama manusia selain mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan jualan dan membawa masuk pelaburan asing.

Beliau berkata, syarikat digital yang berkembang pesat ketika PKP seperti syarikat logistik dan e-dagang kini boleh mengambil pekerja melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja. Ini katanya membolehkan kadar pengangguran khususnya di kalangan belia sebanyak 11.9 peratus (tertinggi di Asia Tenggara) dapat di kurangkan.

“Perlu diingat, setiap tahun lebih 500,000 graduan memasuki pasaran kerja. Lebih penting, pekerja di syarikat digital yang kebanyakannya adalah pekerja gig boleh mendapat perlindungan seperti pekerja biasa.

“Lebih 90 peratus pekerja gig seperti pemandu Grab, food panda adalah golongan muda B40. Kita tidak mahu nasib mereka sudah jatuh ditimpa tangga apabila berlaku bencana,” katanya.

Radzi berkata, geran padanan, kempen Shop Malaysia Online dan perkhidmatan digitalisasi juga mampu memberi pasaran baru kepada PKS di Malaysia.

Beliau berkata, pendapatan mereka terkesan kerana tidak ramai orang keluar berbelanja, menjadikan langkah kerajaan bekerjasama dengan pemain e-dagang adalah tindakan bijak. Katanya, peserta e-dagang swasta seperti Lazada dan Shopee sudah mempunyai ekosistem tersendiri.

“Lazada sahaja ada 1/3 pengguna di Malaysia sebulan. Dan hari ini syarikat PKS seperti Hi HOME sudah boleh menjual rumah di Lazada.

“Ia juga menjimatkan dana kerajaan daripada membina platform e-dagang sendiri. Melalui langkah ini, produk Malaysia bukan sahaja boleh dijual di dalam negara, bahkan di luar negara.

“Selain itu, dana padanan RM1.2 bilion adalah ‘game changer’ kerana pelabur akan melihat itu adalah pelaburan yang selamat dan menguntungkan.

“Cuma kerajaan perlu melaksanakan perkara ini dan tidak hanya ‘hot air’ sebagaimana yang pernah berlaku,” katanya.

 

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/06/697470/digital-penyelesaian-kejatuhan-pks-dan-golongan-muda