DPN kumpul RM850 juta dalam pusingan awal

KUALA LUMPUR: Program Dana Penjana Nasional (DPN) yang dikendalikan oleh Penjana Kapital Sdn Bhd berjaya mengumpul RM850 juta pada pusingan awal yang berakhir hujung bulan lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pengumpulan dana sebanyak RM850 juta itu melebihi sasaran awal kutipan sebanyak RM622 juta ataupun 3.7 kali lebih daripada sasaran awal RM228 juta.

Katanya, daripada jumlah dana itu, RM433 juta atau lebih daripada 55 peratus adalah modal pelabur asing, termasuk pelaburan dari Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

“Daripada lapan syarikat modal teroka asing dan rakan kongsi tempatan yang telah terpilih di bawah program DPN, tiga telah berjaya mencapai sasaran dana pusingan akhir lebih awal dari jangkaan.

“DPN adalah program padanan ‘fund-of-funds’ yang adalah sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Kerajaan Malaysia akan memadankan sehingga RM600 juta, pada kadar padanan 1:1, modal yang dijana oleh pengurus dana modal teroka dari pelabur swasta tempatan dan asing, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

“Kejayaan pengumpulan dana pusingan awal ini bermakna program DPN berkemungkinan cerah untuk mencapai sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, matlamat DPN adalah untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan memberi insentif kepada pelabur swasta untuk memudahcara pertumbuhan syarikat pemula niaga dan mewujudkan sebuah ekosistem yang menggalakkan syarikat pemula niaga tempatan berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, selain daripada menjadi instrumen untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia, DPN penting untuk kelangsungan syarikat pemula niaga negara.

Katanya, daripada jumlah dana RM850 juta yang dikumpul, jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM118 juta sudah diluluskan untuk sembilan syarikat pemula niaga.

“Ia termasuk sebuah syarikat pemula niaga mobiliti tempatan, yang dijangka akan mewujudkan lebih kurang 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia dan membabitkan pelaburan daripada sebuah syarikat gergasi automotif global yang akan mengukuhkan kedudukan syarikat mobiliti ini sebagai sebuah syarikat yang berpotensi untuk menjadi syarikat unikorn Malaysia.

“Sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) dengan perniagaan berteraskan inovasi akan memindahkan ibu pejabat syarikatnya ke Malaysia dari Singapura selepas melabur.

“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan menarik pekerja yang berkemahiran ke Malaysia untuk berkongsi pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu sebuah syarikat fintech pra-unikorn dengan barisan pelanggan yang terdiri daripada syarikat multinasional di seluruh Asia telah memberikan komitmen untuk melabur sehingga AS$100 juta (RM411.8 juta) di Malaysia dalam masa lima tahun selepas pelaburan.

“Perkembangan syarikat ini di Malaysia dijangka akan memberikan peluang perkongsian pengetahuan daripada pekerja yang dilatih di Silicon Valley dan akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di dalam industri teknologi kewangan.

“Sebuah syarikat teknologi pertanian (agritech) yang bercadang untuk melabur AS$15 juta ke AS$75 juta (RM61.8 juta ke RM308.8 juta) di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, matlamat DPN adalah berteraskan keperluan untuk memastikan industri syarikat pemula niaga di Malaysia boleh mengatasi cabaran pembiayaan yang berkaitan dengan COVID-19, dan terus berinovasi untuk menyumbang kepada kemajuan negara di dalam pelbagai sektor, termasuk mobiliti, pertanian dan kesihatan.

“Projek yang dipilih sedang mengembangkan solusi yang bertunjangkan innovasi serta berteknologi canggih, yang kesemuanya akan membantu Malaysia mencapai visi MyDigital lebih pantas daripada jangkaan.

“Portfolio syarikat pemula niaga di bawah program DPN komited untuk menyumbangkan manfaat ekonomi ketara kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan sekurang-kurangnya 1,400 pekerjaan berkualiti tinggi.

“Program padanan pelaburan DPN ini bukan sahaja untuk menarik pelaburan tetapi ia juga untuk memastikan manfaat mempelbagaikan risiko ke dalam portfolio,” katanya.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/825925/dpn-kumpul-rm850-juta-dalam-pusingan-awal)