Kerajaan lancar Dana Penjana Nasional RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Dana Penjana Nasional (Dana Penjana) bernilai RM1.2 bilion bagi menyokong pemulihan ekonomi dan meningkatkan lagi pertumbuhan negara pasca wabak COVID-19 dengan memacu pasaran modal swasta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dana, yang akan dikendalikan Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital), akan mewujudkan pelaburan ‘fund-of-funds’ bernilai RM600 juta dengan menarik pelaburan modal swasta asing.

Dana yang dikumpula akan dilaburkan dalam syarikat perniagaan inovatif Malaysia melalui program pelaburan padanan.

Beliau berkata, modal bagi dana berkenaan akan dikumpul menerusi penyertaan kerajaan dan syarikat modal teroka asing serta tempatan.

Tengku Zafrul menjelaskan, daripada RM1.2 bilion nilai dana itu, pembiayaan berjumlah RM600 juta akan disediakan oleh dana modal teroka asing dan tempatan, manakala kerajaan akan membuat padanan 1:1 selepas pendanaan dimuktamadkan.

Katanya, inisiatif kerajaan itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membangunkan perniagaan Malaysia dalam sektor berimpak tinggi dan pada masa yang sama, memperkasakan syarikat menjangkaui batas inovasi.

“Saya yakin Dana Penjana akan memacu pembangunan pasaran modal swasta negara dengan memanfaatkan model usaha sama tempatan-asing untuk memudahkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi baharu.

“Ketika Malaysia beralih ke arah pembangunan ekonomi yang lebih maju dan berpendapatan tinggi dalam tempoh satu dekad akan datang, struktur ekonomi kita akan terus mengalami perubahan. COVID-19 telah mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi baharu yang disandarkan kepada teknologi baharu dan inovasi yang berterusan.

“Justeru, Dana Penjana diperlukan untuk menarik pelaburan modal baharu ke dalam negara dan penyaluran dana ke dalam perniagaan tempatan yang memerlukan, lebih-lebih lagi, ketika kebanyakan perniagaan tempatan menghadapi kesukaran akibat wabak ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Dana Penjana di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon; dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

Dana Penjana dibentuk hasil struktur kerjasama awam-swasta memiliki posisi yang baik untuk menarik pelaburan modal swasta asing ke dalam syarikat pemula niaga tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi program padanan modal.

Ia akan dikendalikan Penjana Kapital iaitu syarikat yang ditubuhkan Kementerian Kewangan Diperbadankan yang dianggotai ahli Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburan khusus bagi memastikan tadbir urus, ketelusan dan pemantauan yang ketat dalam penyaluran dana berkenaan.

Ahli Lembaga Pengarah Penjana Kapital terdiri dari wakil Kementerian Kewangan, pelbagai industri, peserta sektor swasta dan agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Dana Penjana akan memperuntukkan dana untuk pelbagai peringkat kitaran hayat modal teroka bergantung sasaran tempoh matang syarikat pemula niaga

“Di peringkat ‘Seed/Co-Creation’, adalah adalah berjumlah dari RM500,000 hingga RM5 juta, manakala ‘Series A/B’ iaitu di mana syarikat melepasi peringkat idea pula bermula RM5 juta hingga RM20 juta. Bagi peringkat ‘Growth Stage’ iaitu mewakili peringkat pengembangan sesebuah syarikat, pelaburannya adalah antara RM20 juta hingga RM50 juta.

“Peringkat ‘Venture Debt’ pula akan menyediakan pembiayaan jangka pendek atau sederhana kepada syarikat dan pemula niaga pada peringkat ‘early’, ‘mid’ dan ‘late’ membabitkan dana antara RM1 juta hingga RM10 juta.

“Pelabur berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Penjana Kapital bulan depan,” katanya.

Beliau berkata, dana Penjana akan memberi penekanan kepada sektor teknologi pertanian (Agritech), teknologi kewangan (FinTech) dan penjagaan kesihatan sebelum ia dikembangkan membabitkan segmen pelaburan modal swasta lain pada masa depan seperti ekuiti swasta dan pendanaan awam.

Katanya, dana berkenaan itu juga akan bertindak sebagai saluran untuk mengembangkan dan memupuk bakat dalam ruang lingkup modal teroka sekali gus mampu menjadi platform melahirkan syarikat modal teroka tempatan.

“Saya yakin usaha ini akan mendorong pertumbuhan syarikat pemula niaga Malaysia dengan memungkinkan mereka memanfaatkan bukan hanya modal swasta, tetapi juga kepakaran dan pengetahuan pelabur global.

“Ini seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan meletakkan Malaysia di landasan yang betul menuju pemulihan ekonomi dan akhirnya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dana Penjana Nasional adalah antara 40 inisiatif yang diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Kerajaan memperkenalkan PENJANA yang bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka pendek dan merangkumi 40 inisiatif berjumlah RM35 bilion.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/08/725230/kerajaan-lancar-dana-penjana-nasional-rm12-bilion)