Pengurus modal teroka Dana Penjana Nasional sedang dipilih

KUALA LUMPUR: Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) sedang memulakan proses Cadangan Untuk Permintaan (RFP) program Dana Penjana Nasional bagi memilih pengurus dana modal teroka.

Ia berkata, cadangan daripada pemohon mesti menunjukkan, antara lainnya, pengetahuan yang luas mengenai ekosistem teknologi (termasuk Malaysia), strategi dan proses pelaburan yang tepat, cadangan pembangunan bakat serta program pemindahan pengetahuan yang akan dijalankan.

“Pemohon diharapkan mempunyai rekod prestasi dana semasa/sebelumnya serta kemampuan menjana dana. Cadangan mesti menunjukkan bagaimana ia dapat menghasilkan faedah nyata kepada ekonomi Malaysia,” kata Penjana Kapital dalam satu kenyataan.

Proses RFP mula menerima penyerahan hari ini dan tarikh akhir penyerahan adalah jam 5 petang pada 25 September ini.

Di bawah program Dana Penjana Nasional, Penjana Kapital dan pemohon terpilih akan memperuntukkan dana berjumlah RM1.2 bilion, yang mana RM600 juta daripada Dana Penjana Nasional merentasi keseluruhan kitaran hayat modal teroka merangkumi ‘Seed/Co-Creation’, ‘Series A/B’, ‘Growth Stage’ dan ‘Venture Debt’. Penjana Kapital berkata, penilaian dan pemeriksaan semua cadangan akan dilakukan bulan depan, yang mana tindakan susulan dengan pemohon dijalankan ketika proses penilaian itu.

Ia berkata, dalam tempoh penilaian itu, temu duga dengan pemohon yang disenarai pendek membabitkan pelbagai kategori akan dilakukan. Dana Penjana Nasional adalah antara 40 inisiatif yang diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Jun lalu.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/09/730282/pengurus-modal-teroka-dana-penjana-nasional-sedang-dipilih)