Penjana Kapital berjaya kumpul dana RM850 juta, dana domestik bantu syarikat pemula niaga tempatan

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Penjana Kapital Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan untuk mengendalikan Program Dana Penjana Nasional (DPN), berjaya mengumpul dana sebanyak RM850 juta pada pusingan awal yang berakhir pada hujung Mei 2021, melebihi sasaran awal RM228 juta sebanyak RM622 juta, atau 3.7 kali.

Menurut Penjana Kapital dalam kenyataan hari ini, daripada jumlah dana tersebut, RM433 juta atau lebih 55 peratus merupakan modal pelabur asing, termasuk pelaburan dari Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

“Daripada lapan syarikat modal teroka asing dan rakan kongsi tempatan yang telah terpilih di bawah program DPN, tiga telah berjaya mencapai sasaran dana pusingan akhir lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

DPN adalah program padanan ‘fund-of-funds’ yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Kerajaan Malaysia akan memadankan sehingga RM600 juta, pada kadar padanan 1:1, modal yang dijana oleh pengurus dana modal teroka daripada pelabur swasta tempatan dan asing dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Kejayaan pengumpulan dana pusingan awal ini bermakna program DPN berkemungkinan cerah untuk mencapai sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata matlamat DPN adalah berteraskan keperluan untuk memastikan industry syarikat pemula niaga di Malaysia boleh mengatasi cabaran pembiayaan yang berkaitan dengan COVID-19 dan terus berinovasi untuk menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai sektor, termasuk mobiliti, pertanian dan kesihatan.

“Projek yang telah dipilih sedang mengembangkan solusi yang bertunjangkan inovasi serta berteknologi canggih, yang kesemuanya akan membantu Malaysia mencapai visi MyDigital lebih pantas daripada jangkaan,” katanya.

Menurut Penjana Kapital, matlamat DPN ialah merapatkan jurang pembiayaan dengan memberi insentif kepada pelabur swasta untuk memudahcara pertumbuhan syarikat pemula niaga dan mewujudkan sebuah ekosistem yang menggalakkan syarikat pemula niaga tempatan berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain daripada menjadi instrumen untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia, DPN penting untuk kelangsungan syarikat pemula niaga negara.

Daripada jumlah dana RM850 juta yang telah dikumpul, jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM118 juta telah diluluskan untuk sembilan syarikat pemula niaga, termasuk sebuah syarikat pemula niaga mobiliti tempatan, yang dijangka akan mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Selain itu, sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) dengan perniagaan berteraskan inovasi akan memindahkan ibu pejabat syarikat tersebut ke Malaysia dari Singapura selepas melabur.

Di samping itu, sebuah syarikat fintech pra-unicorn dengan barisan pelanggan yang terdiri daripada syarikat multinasional di seluruh Asia telah memberikan komitmen untuk melabur sehingga US$100 juta (US$1= RM4.12) di Malaysia dalam masa lima tahun selepas pelaburan dan sebuah syarikat teknologi pertanian (agritech) yang bercadang untuk melabur US$15 juta-US$75 juta di Malaysia.

Portfolio syarikat pemula niaga di bawah program DPN komited untuk menyumbangkan manfaat ekonomi ketara kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan sekurang-kurangnya 1,400 pekerjaan berkualiti tinggi.

Program padanan pelaburan DPN ini bukan sahaja untuk menarik pelaburan tetapi ia juga untuk memastikan manfaat mempelbagaikan risiko dalam portfolio.

Jumlah dana untuk dilaburkan daripada program ini adalah sekurang-kurangnya RM1.2 bilion dalam tempoh lebih dua tahun. Jumlah ini adalah jumlah yang besar jika dibandingkan dengan lebih RM4.4 bilion komitmen dana di bawah pengurusan syarikat modal teroka Malaysia yang dilaporkan setakat akhir 2020.

Suntikan dana pelaburan ini djangka akan memangkin ekosistem syarikat modal teroka tempatan dan akan memberikan impak kepada ruang syarikat pemula niaga negara.

— BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1970260)