KUALA LUMPUR, 11 Sept –Penjana Kapital Sdn Bhd kini membuka permohonan Permintaan bagi Cadangan (RFP) untuk program Dana Penjana Nasional bagi memilih pengurus portfolio dana modal teroka.
Syarikat itu berkata cadangan oleh pemohon harus menunjukkan pengetahuan luas mengenai ekosistem teknologi (termasuk Malaysia), proses dan strategi pelaburan yang sesuai, cadangan pembangunan bakat dan program pemindahan pengetahuan yang akan dilaksanakan.
“Pemohon perlu mempunyai rekod prestasi dana terkini atau sebelumnya yang diuruskan, serta kemampuan pengumpulan dana.
“Cadangan itu mesti menunjukkan bagaimana ia dapat menghasilkan manfaat ketara bagi ekonomi Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Penjana Kapital berkata proses RFP itu akan mula menerima permohonan mulai hari ini dan tarikh akhir permohonan itu adalah pukul 5 petang pada 25 September, 2020.
Di bawah program dana Dana Penjana Nasional yang pertama, Penjana Kapital dan pemohon terpilih akan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion, di mana RM600 juta daripada Dana Penjana Nasional, dana daripada keseluruhan dana modal teroka, bermula dengan Peringkat Awal, Peringkat Siri A/B, Peringkat Pertumbuhan dan Hutang Teroka.
— BERNAMA
(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1878763)