PENJANA KAPITAL SDN BHD (202001016209/1372529-H)

Level 37, MOF Inc Tower,
Platinum Park, 9 Persiaran KLCC,
50088 Kuala Lumpur
Telephone: +603 – 2779 4282

SIARAN MEDIA

Untuk Siaran Segera

Penjana Kapital: Kerjasama Serantau Memangkin Syarikat Pemula Niaga Malaysia Terokai Pasaran Indonesia Bernilai Usd1 Trilion

JAKARTA: (KHAMIS) (11 November 2021) – Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2020 yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memangkin pertumbuhan syarikat pemula niaga inovatif, semalam telah memeterai penjanjian dengan AC Ventures, sebuah firma pelaburan modal teroka yang terkemuka di Indonesia yang berfokus kepada rantau Asia Tenggara. AC Ventures merupakan salah satu daripada lapan (8) pengurus dana modal teroka yang terpilih dibawah Program Dana Penjana Nasional, sebuah program yang dikendalikan oleh Penjana Kapital.

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz telah menyaksikan majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Penjana Kapital dan AC Ventures di Jakarta semasa lawatan rasmi ke Republik Indonesia selama empat hari.

AC Ventures telah bekerjasama dengan Translink Capital dan Vertex Force untuk melabur di dalam salah satu dana oleh Dana Penjana Nasional, SEA Frontier Fund yang memfokus kepada syarikat pemula niaga Malaysia untuk, antara lainnya, menembusi pasaran Indonesia serta menjalinkan kerjasama di dalam ekosistem teknologi serantau. AC Ventures mempunyai portfolio hampir 100 syarikat dan telah melabur ke dalam syarikat pemula niaga terkenal seperti Carsome, Xendit, Stockbit, Eden Farm dan Ula.

“Saya mengalu-alukan keputusan AC Ventures untuk menguatkan kerjasama dengan Penjana Kapital dan melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia. Pelaburan ini adalah amat penting untuk merangsang ekosistem industri di negara kita, dengan menggalakkan inovasi dan melengkapkan usahawan tempatan dengan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan terutamanya di Indonesia, pasaran konsumer terbesar di rantau Asia Tenggara. Menerusi pengetahuan industri tempatan yang luas dan rangkaian perniagaan yang besar oleh AC Ventures, syarikat pemula niaga Malaysia mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran ekonomi Indonesia yang bernilai USD1.0 trilion,” kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Melalui kerjasama antara Penjana Kapital dan AC Ventures, dana SEA Frontier Fund akan menggandakan usaha dalam strategi pelaburan yang tertumpu kepada syarikat pemula niaga yang ingin menjalankan perniagaan merentas sempadan serantau. Dana SEA Frontier Fund juga telah meraih komitmen daripada pelabur strategik asing termasuk sebuah syarikat konglomerat antarabangsa yang terkenal dari Korea Selatan. SEA Frontier Fund kini mempunyai dana sebanyak RM200 juta dan menyasarkan untuk meraih pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta dalam masa tiga (3) bulan akan datang.

Penjana Kapital melihat peluang bagi syarikat pemula niaga Malaysia dalam beberapa sektor dibawah kerangka “Making Indonesia 4.0” seperti sektor otomotif, agrikultur dan pemakanan serta kesihatan.

Dana Penjana Nasional telah mengumpul RM995.4 juta untuk lapan (8) dana modal teroka dibawah program tersebut setakat Oktober 2021, berdasarkan padanan 1:1 dana oleh Kementerian Kewangan. Daripada jumlah itu, RM562.7 juta merupakan modal pelabur asing dan swasta tempatan. Penjana Kapital juga ingin mengumumkan bahawa 30 pelaburan berjumlah RM267.2 juta telah diluluskan dibawah program Dana Penjana Nasional. Dua (2) daripadanya telah berjaya mencapai status “unicorn” (perusahaan syarikat pemula niaga bernilai lebih USD1 bilion). [TAMAT]

Mengenai Penjana Kapital

Penjana Kapital ditubuhkan pada 1 Julai 2020 sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Malaysia untuk mempercepat pemulihan ekonomi Malaysia. Ia ditubuhkan untuk mendokong digitalisasi dan automasi perniagaan Malaysia dengan membawa dana dari pelabur antarabangsa dan tempatan ke pasaran modal teroka tempatan.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

Penjana Kapital Sdn Bhd
Tel: +603 – 2779 4282
Emel: enquiry@penjanakapital.com.my