Penjana Kapital kumpul dana RM676 juta

KUALA LUMPUR: Lapan syarikat modal teroka Malaysia berjaya mengumpul dana sebanyak RM676 juta menerusi Program Dana Penjana Nasional (DPN) yang dikendalikan oleh Penjana Kapital Sdn Bhd.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Daripada jumlah itu, RM372 juta atau 55 peratus adalah modal pelabur asing, khususnya dari Hong Kong dan Korea Selatan.

Pengumpulan dana sebanyak RM676 juta itu melebihi sasaran awal kutipan sebanyak RM448 juta atau hampir 200 peratus daripada sasaran awal RM228 juta.

Menerusinya, lapan pengurus dana modal teroka akan memulakan pelaburan awal sebanyak RM110.15 juta dalam lapan syarikat pemula niaga.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan menzahirkan tahniah kepada lapan pengurus dana modal teroka yang berjaya mengumpul RM676 juta untuk dilaburkan ke dalam syarikat pemula niaga di Malaysia.

“Saya juga mengalu-alukan kedatangan pelabur asing ke Malaysia, yang nyata mencerminkan keyakinan mereka terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan industri syarikat pemula niaga.

“Dana ini penting untuk memacu ekosistem syarikat pemula niaga dan menggalakkan inovasi, terutama dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Saya berharap Penjana Kapital, pengurus dana modal teroka dan syarikat yang dilabur akan terus berjaya mengorak langkah di dalam industri ini, di samping berkongsi pengetahuan dan menjana peluang pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia,” katanya.

Lapan syarikat pemula niaga yang bakal menerima pelaburan awal ini mempunyai rangkaian perniagaan sekurang-kurangnya di dua negara ASEAN.

Lima syarikat berkenaan ditubuhkan di Malaysia, manakala tiga lagi adalah syarikat asing yang memberikan komitmen untuk menubuhkan operasi di Malaysia dan menjalin usaha sama dengan korporat tempatan.

Selain komitmen untuk mencapai sasaran kadar pulangan dalaman (IRR) antara 15 hingga 30 peratus, semua pengurus dana modal teroka terbabit turut memberi komitmen mewujudkan hampir 1,400 pekerjaan berkemahiran tinggi daripada pelaburan awal mereka.

DPN adalah program padanan ‘fund-of-funds’ yang juga sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/05/818502/penjana-kapital-kumpul-dana-rm676-juta)