Penjana RM35 bilion perkasa rakyat, peniaga, rangsang ekonomi

KUALA LUMPUR: Fasa pemulihan yang dilalui negara ketika ini adalah tempoh paling sesuai untuk meraih peluang baharu untuk bangkit daripada kesan krisis COVID-19 demi pembangunan masa depan negara.

Untuk tujuan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang dikenali sebagai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk tempoh Jun hingga Disember ini. Pelan merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi” itu bermatlamat Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi.

PENJANA adalah strategi kerajaan bagi fasa keempat daripada enam fasa atau ‘6R’ dalam menangani cabaran COVID-19, bermula fasa Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform).

Daripada RM35 bilion saiz keseluruhan PENJANA, sejumlah RM13.2 bilion atau 37.71 peratus diperuntukkan untuk memperkasakan rakyat; RM14.8 bilion (42.28 peratus) bagi melonjakkan perniagaan dan RM7.1 bilion (20.28 peratus) untuk merangsang ekonomi.

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM10 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada kerajaan, manakala yang lain adalah menerusi insentif cukai, sumber sedia ada dan sumber lain.

Perdana Menteri berkata ketika ekonomi dunia bergelut menghadapi krisis yang terburuk sejak zaman Kemelesetan Ekonomi (Great Depression) pada tahun 1930-an, Malaysia tidak terkecuali.

“Situasi semasa menyaksikan kadar pengangguran dijangka meningkat kepada dua angka di Amerika Syarikat, India, Kanada, Sepanyol dan China. “Konflik perdagangan dan pergolakan politik di beberapa negara turut memburukkan lagi keadaan.

“Ini sekali gus memberi kesan yang lebih negatif kepada ekonomi dunia. Berdasarkan unjuran IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pada April 2020, pertumbuhan ekonomi dunia adalah pada kadar -3.0 peratus,” katanya.

Muhyiddin berkata, buat kali pertama sejak kemelesetan ekonomi pada tahun 1930-an, negara maju dan membangun mengalami penguncupan ekonomi.

“Saya ingin mengambil sikap berterus-terang dengan saudara dan saudari semua mengenai kedudukan ekonomi negara kita. Seperti negara-negara lain, Malaysia juga menghadapi cabaran yang agak getir,” katanya.

Kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020, kata beliau.

Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020, kadar pengangguran negara dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang untuk keseluruhan tahun 2020.

Dengan mengambil kira situasi yang mencabar ini, Muhyiddin berkata, ekonomi Malaysia dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang masih dijalankan di peringkat global dan dalam negara.

Menyedari kebimbangan umum mengenai prospek pekerjaan dan kehilangan punca pendapatan, selain daripada kesukaran aliran tunai didepani syarikat dan peniaga yang mana akan menjejaskan perbelanjaan swasta dan seterusnya ekonomi, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan hampir tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Pertama, perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Sejak diperkenalkan dalam Pakej PRIHATIN (RM250 bilion) dan PRIHATIN PKS Tambahan (RM10 bilion), program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan.

Program tiga bulan ini berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan. Bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi, kerajaan akan melanjutkan subsidi upah ini selama tiga bulan lagi,” katanya.

Pada 4 Mei lalu, kerajaan membenarkan pembukaan beberapa sektor bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara.

Sehingga 2 Jun 2020, kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja sudah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020. “Alhamdulillah, pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat. Pelaksanaan Pakej PRIHATIN masih berterusan pada masa ini,” katanya.

Menerusi teras Memperkasakan Rakyat juga, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif seperti menaik taraf Portal Khidmat Pekerjaan Nasional; Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (RM1.5 bilion) yang akan memanfaatkan sehingga 300,000 pekerja; Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran (RM2 bilion) yang akan memberi faedah kepada sehingga 200,000 pekerja; Perlindungan Sosial dan Latihan bagi Pekerja Ekonomi Gig; Insentif Pengaturan Kerja Fleksibel; Subsidi Penjagaan Anak; Subsidi Pengangkutan Awam MY30; Skim Kesihatan PEKA B40 dan Perkhidmatan Internet untuk Pembelajaran dan Peningkatan Produktiviti.

Turut disediakan adalah Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas bernilai RM108 juta iaitu bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM300 bagi 190,000 OKU berdaftar, 150,000 ibu tunggal yang berpendapatan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan dan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menyedari sektor perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, yang mana kebanyakan sektor ekonomi ditutup hampir dua bulan dan berdepan cabaran aliran tunai, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif untuk melonjakkan perniagaan.

“Kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah.

“Dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau dalam talian, kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha berkenaan melalui geran padanan sebanyak RM140 juta. Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan,” katanya.

Menerusi teras Melonjakkan Perniagaan, beberapa langkah turut diperkenalkan untuk membolehkan pekerja dan perniagaan mengekalkan operasi dan meningkatkan produktiviti mereka.

Antaranya Kempen E-Dagang bagi Perusahaan Mikro dan PKS bernilai RM70 juta untuk menggalak mereka beralih kepada digitalisasi perniagaan.

Turut diperkenalkan ‘Shop Malaysia Online’; Penggunaan Teknikal dan Digital bagi PKS dan Syarikat di Peringkat Pertengahan (MTC); Pusat Sehenti MyAssist SME; Pembiayaan PKS PENJANA; Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA; Pembiayaan Mikrokredit PENJANA; Pembiayaan Mudah Bumiputera; Skim SME-Go bagi Membantu Aliran Tunai PKS; Potongan Cukai untuk Perbelanjaan berkaitan COVID-19 dan Sokongan untuk meringankan beban kewangan perniagaan.

Perdana Menteri berkata, secara umumnya COVID-19 telah mengubah cara ekonomi beroperasi dan untuk terus menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama, adalah penting untuk memberitahu dunia bahawa ekonomi Malaysia tetap berdaya saing dan terbuka untuk perniagaan.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 di dunia dalam kategori kemudahan menjalankan perniagaan dan ke-3 di Asia Pasifik.

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengumumkan beberapa pakej dan program pelaburan, insentif pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan yang inklusif,” katanya ketika menjelaskan inisiatif di bawah teras ketiga iaitu Merangsang Ekonomi.

Katanya, untuk memacu pemulihan ekonomi negara melalui proses digitalisasi perniagaan, kerajaan akan menubuhkan Dana Penjana Nasional berjumlah RM1.2 bilion dengan peruntukan RM600 juta daripada kerajaan dan dipadankan dengan RM600 juta daripada pelabur domestik dan antarabangsa.

Dana itu, jelas beliau, akan digunakan untuk memupuk inovasi dan mengembangkan bakat modal teroka tempatan.

“Antara pelabur antarabangsa yang berminat untuk turut serta ialah SK Group, Hanwha Asset Management, KB Investment Co Ltd, Provident Growth, 500 Startups dan The Hive,” katanya.

Turut diumumkan di bawah teras berkenaan adalah Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dan barangan tempatan, sekali gus merangsang syarikat tempatan.

Langkah lain yang diumumkan untuk merangsang ekonomi termasuk Pendigitalan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan; ePENJANA; Insentif Sektor Hartanah; Sokongan Sektor Pelancongan; Insentif Cukai Pembelian Kereta; Pelanjutan Waktu Perkhidmatan dalam Norma Baharu; Sokongan Sektor Seni, Budaya dan Hiburan; Sokongan Sektor Pertanian dan Makanan serta Sokongan Sektor Komoditi.

Sementara itu, untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai bagi syarikat asing yang memindah operasinya di Malaysia.

Untuk membolehkan rakyat menyertai kerajaan menjana semula ekonomi negara, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menerbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta pada suku ketiga tahun ini. Bon Islam itu terbuka kepada orang ramai dan syarikat.

“Dengan bertemakan ‘Daripada Rakyat, Kepada Rakyat’, dana yang terkumpul ini akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro, terutamanya usahawan wanita, penambahbaikan liputan internet jalur lebar di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan geran penyelidikan penyakit berjangkit,” katanya. Perdana Menteri yakin 40 inisiatif yang diumumkan kerajaan akan membantu usaha memulih dan merangsang ekonomi negara, meningkatkan semula keyakinan pelabur, peniaga dan rakyat.

Muhyiddin memberi jaminan semua pakej rangsangan ekonomi, termasuk di bawah PENJANA akan terus dipantau pelaksanaannya oleh Pasukan LAKSANA yang telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan.

 

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/06/696946/penjana-rm35-bilion-perkasa-rakyat-peniaga-rangsang-ekonomi