KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menerima cadangan dan permohonan pelaburan daripada dana modal teroka asing yang berminat untuk melabur di dalam beberapa kategori perintis Dana Penjana Nasional bermula 1 hingga 14 Julai 2020.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dana perintis itu merangkumi keseluruhan kitaran hayat pelaburan termasuk ‘Seed/Co-Creation’, ‘Early Stage – Series A/B’,’Growth Stage’ dan ‘Venture Debt’.
Beliau berkata, Dana Penjana Nasional adalah dana pelaburan teknologi berjumlah RM600 juta bagi sektor modal teroka dan permulaan di Malaysia. Katanya, jumlah itu akan dipadankan 1:1 dengan pelaburan daripada institusi pelaburan asing untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
“Tujuan penubuhan dana ini adalah bagi memacu pemulihan ekonomi melalui proses pendigitalan perniagaan negara di dalam sektor teknologi berimpak tinggi, dengan menarik pelabur asing yang strategik.
“Penyertaan pelaburan asing juga akan memperkasakan pembangunan modal insan negara di dalam bidang ini melalui kerjasama dengan rakan kerja dana modal teroka tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai Laporan LAKSANA Ke-11 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Dana Penjana Nasional adalah antara 40 inisiatif yang diumumkan di bawah PENJANA.
Kerajaan memperkenalkan PENJANA yang bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka pendek dan merangkumi 40 inisiatif berjumlah RM35 bilion.
Maklumat lebih lanjut mengenai dana berkenaan boleh didapati di laman web penjana.treasury.gov.my.
Pelabur yang berminat boleh menghantar e-mel kepada danapenjana@treasury.gov.my.
(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/07/706050/permohonan-dana-penjana-nasional-mula-dibuka)