Selangor komited sedia kemudahan bantu PKS

KUALA LUMPUR: Selangor akan terus menyediakan kemudahan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga mendepani cabaran dalam perniagaan dengan beralih ke arah digital.

Penyelesaian e-dagang antara perniagaan yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan – Foto fail NSTP

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim, berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara menjejaskan syarikat tradisional terutama akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat perniagaan yang berkaitan dengan teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Penyelesaian e-dagang, teknologi perbankan dan perbandaran pintar adalah sangat relevan pada ketika ini bagi memastikan bahawa perniagaan masih dapat diteruskan walaupun dalam keadaan masih menjaga keselamatan.

“Ini adalah fokus utama kerajaan Selangor untuk memulihkan ekonomi melalui digitalisasi, penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan, dan juga dalam memastikan keselamatan makanan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan siri keempat Selangor Accelerator Programme (SAP) 2021, inisiatif di bawah Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Perbankan PKS Affin Bank Bhd, Lim Kee Yeong dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, Selangor melancarkan pelbagai siri program pendigitalan seperti empat pusingan kempen Selangor e-Bazar dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM7 juta.

Beliau berkata, kempen e-Bazar itu memberi manfaat kepada hampir 300,000 peniaga dalam talian termasuk 75,000 peniaga baharu, menjana jualan langsung sebanyak RM145 juta, sekali gus memberi impak sebanyak RM2.95 bilion kepada ekonomi Selangor.

Kerajaan Selangor juga, katanya, terus memberi sokongan kepada PKS melalui Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor yang bertujuan untuk membantu PKS mengambil langkah pertama untuk mendigitalisasikan perniagaan.

Inisiatif itu, tegasnya, diharap dapat memberi manfaat kepada 1,000 PKS Selangor dengan geran keseluruhan bernilai RM5 juta.

“Untuk kumpulan pertama, kami mengagihkan RM1.2 juta kepada 280 PKS daripada 492 pemohon. PKS boleh mula mendaftar untuk kumpulan kedua geran ini mulai 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2021,” katanya.

Sebanyak 30 syarikat pemula niaga dipilih menyertai SAP kali ini yang turut mendapat sokongan daripada Affin Bank, RHL Ventures, Agrobank dan The Hive Southeast Asia serta rakan tempatan program padanan Dana Penjana Nasional (PNF).

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2021/07/843901/selangor-komited-sedia-kemudahan-bantu-pks)